Friday, 19 April 2013

Program Zero To Hero

       Pada hari Sabtu bersamaan 6 April 2013 bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari bertempat di Dewan Al-Khindi, IPG Kampus Sultan Mizan, satu program iaitu Zero To Hero - Ledakkan Potensi Diri anjuran Biro Perhubungan Domestik dan Antarabangsa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Sultan Mizan telah berlangsung dengan jayanya. Para peserta yang terdiri daripada penuntut-penuntut daripada IPG Kampus Sultan Mizan sendiri telah memenuhi segenap ruang di dewan Al-Khindi. Selain itu, pelajar dari Politeknik Kota Bharu juga telah dijemput bagi bersama-sama menjayakan program ilmu ini. Program ini juga diserikan lagi dengan kehadiran En. Mohd. Nor Adzim Shaari selaku ahli Unit Kajian Informasi PEMBINA dan adik Nurussyahamah Taqiah , juara program Adik-Adikku di TV1. Hal ini kerana, program ini mendapat kerjasama sepenuhnya bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Kelantan disamping Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.

Sambutan daripada para mahasiswa cemerlang IPG Kampus Sultan Mizan dan Politeknik Kota Bharu

Para mahasiswi IPG Kampus Sultan Mizan dan Politeknik Kota Bharu juga tidak melepaskan peluang bersama-sama menghadiri program ilmu ini


       Sesi pertama program bermula dengan proses pendaftaran para peserta seawal jam 8.45 pagi. Proses pendaftaran peserta selesai kira-kira 15 minit kemudian. Bagi mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t., program dimulakan dengan bacaan dia oleh saudara Muhammad Farhan Bin Suria merangkap Setiausaha Agung Kehormat JPP IPGKSM Sesi 2013/2014.



Proses pendaftaran para peserta program diselia oleh AJK program yang terlibat.

Kehadiran yang bertambah daripada semasa ke semasa menunjukkan usaha para mahasiswa dan mahasiswi yang sentiasa ingin mencari ilmu baru.


       Seterusnya, program diteruskan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dialunkan oleh tetamu jemputan, adik Nurussyahamah Taqiah sebelum persembahan montaj program ditayangkan. Kemudian , adik Nurussyahamah Taqiah membuat persembahan pidato yang bertajuk 'Bismillah Walhamdulillah'. Antara isi kandungan pidato tersebut ialah mengjak pendengar untuk kembali menghayati warisan Nabi Muhammad s.a.w., iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Beliau menambah dan berpesan agar jangan sekadar membaca sahaja Al_quran tetapi hayatilah maksudnya bersama. Gaya penyampaian pidatonya telah menarik perhatian para audiens di dalam dewan.





Tetamu jemputan , En. Mohd. Nor Adzim Shaari

Alunan bacaan ayat suci Al-Quran oleh adik Nurussyahamah Taqiah , juara Program Adik-Adikku di TV1


Para peserta khusyuk dengan indahnya alunan bacaan Al-Quran oleh adik Nurussyahamah Taqiah.



       Tepat pada jam 9.45 pagi, slot utama program Zero To Hero - Ledakkan Potensi Diri bermula dengan ceramah yang disampaikan oleh saudara Mohd. Nor Adzim Shaari merangkap ahli Unit kajian Informasi PEMBINA. Penceramah telah memulakan slot beliau dengan memperkenalkan diri beliau dan saling bertanya kepada para peserta beberapa soalan. Pertama, beliau menanyakan beberapa peserta dengan soalan, 'siapakah hero anda ?' dan meneruskan sesi ceramah dengan persembahan beberapa video motivasi dan cabaran yang dihadapi oleh sebilangan mahasiswa dan pelajar. Contohnya, beliau memaparkan sebuah video berkisahkan seorang bapa dan anaknya yang lumpuh sejak kecil dan tayangan tersebut telah menarik perhatian dan fokus para peserta. Tayangan berkenaan menceritakan bagaimana seorang bapa yang sanggup menyertai pelbagai pertandingan marathon dan sebagainya setelah diajak oleh anaknya. Video ini memberi pengajaran bahawa bagaimana kecekalan dan keberanian untuk mengatakan 'ya' bagi menghadapi cabaran mampu membawa manusia untuk melakukan apa-apa sahaja.




Slot ceramah daripada tetamu jemputan
Kehadiran bersama YDP JPP IPGKSM Sesi 2013/2014 memberikan semangat kepada para peserta program


       Pada jam 11.00 pagi, sesi soal jawab bermula. Antara yang terkandung sepanjang sesi soal jawab itu ialah tips-tips berguna telah dikongsi bersama para audiens oleh penceramah. Seterusnya dalam jam 11.30 pagi, slot Zero To Hero - Ledakkan Potensi Diri akhirnya tiba ke penghujungnya. Program berakhir dengan majlis penutup dengan sedikit pemberian cenderamata istimewa kepada tetamu jemputan sebelum majlis bersurai pada jam 12.00 tengahari.



       Kesimpulannya, program ini telah banyak memberi perkongsian yang amat baik dan berguna kepada para mahasiswa khususnya. Semoga banyak lagi program dan majlis ilmu seumpama ini dapat dilaksanakan dan terus mendapat sokongan pada masa akan datang.


Disediakan oleh, 
(Muhammad Ariffuddin Bin Sukiat)
Setiausaha,
Biro Perhubungan Domestik dan Antarabangsa,

JPP IPGKSM Sesi 2013/2014                 20 APRIL 2013.

       

No comments:

Post a Comment